Wednesday, 5 July 2017

“SECTION BREAK” PADA MICROSOFT WORD: FUNGSI DAN KEPENTINGANNYA DALAM SISTEM PENULISAN















“Section Break” (SB) bertujuan untuk mengasingkan bab dalam penulisan tesis atau buku. Terutama dalam menyusun halaman serta nota kaki.

Apabila SB telah dibuat, maka penulisan bab boleh diasingkan dari sudut halaman dan nota kaki. Penulis boleh memilih untuk menyusun halaman mengikut keperluan. Berikut adalah ringkasan kepentingan SB dalam pelbagai jenis penulisan:

1. Mengasingkan Halaman

Dalam penulisan tesis atau buku, semestinya halaman kulit tidak memerlukan pernomboran halaman. Lazimnya kulit tidak akan ditulis dengan halaman pertama (1), memandangkan halaman pertama adalah bahagian kandungan tesis/buku tersebut.

Pada bahagian awal buku pada kebiasaannya digunakan nombor roman (i, ii, iii), manakala pada bahagian kandungan, nombor biasa (1, 2, 3) akan digunakan.

2. Mengasingkan Nota Kaki

Selain daripada itu, SB juga berfungsi untuk mengasingkan susunan nota kaki yang ditulis berasingan mengikut bab. Contohnya, nota kaki bagi Bab 1 dimulakan dengan nombor satu (1) dan seterusnya. Manakala nota kaki bagi Bab 2 juga dimulakan dengan nombor satu (1) juga, bukan sambungan daripada nota kaki pada Bab 1. 

3. Menyelaraskan Pembahagian Bab

Sekiranya penulis ingin melakukan sebarang pembetulan kepada isi kandungan buku atau tesis, maka SB berfungsi untuk menyelamatkan susunan pembahagian bab secara konsisten. Hal ini lazim berlaku jika pembetulan yang dibuat selepas siap buku/tesis sehingga halaman akhir.

Contohnya, jika pembetulan (pada bahagian tengah tesis/buku) yang dilakukan menyebabkan berlaku anjakan halaman, maka penulis tidak perlu risau akan perubahan tersebut. Hal ini kerana susunan bab yang seterusnya akan tetap berada pada "awal halaman" yang baru, bukannya berubah kepada "pertengahan halaman" atau "bawah halaman" yang baru tersebut.

Contoh yang lebih mudah, bagi bahagian "Bibliografi" semestinya perlu diasingkan daripada kandungan buku/tesis pada halaman yang baru. Melalui SB, sebarang pembetulan pada isi kandungan tesis tidak akan menjejaskan halaman "Bibliografi" tersebut. Penulis hanya perlu mengemaskini halaman pada "Table of Content" sebagaimana yang telah disiapkan sebelum pembetulan dilakukan.  

0 comments:

Post a Comment